Bayi boleh alami sembelit bila mula makan makanan pejal, iaitu selepas umur 6 bulan ke atas.

Bayi yang menyusu badan sepenuhnya jarang alami sembelit. Jika bayi minum susu ibu dan tidak membuang setiap hari boleh dikategorikan normal asalkan tidak kembung dan bayi selesa.

Tetapi setelah mula makan, bayi boleh kena sembelit.

Punca bayi sembelit 

 Punca sembelit dalam kalangan bayi adalah disebabkan:

  1. Usus yang mengejut kerana diberi makan makanan pejal secara terus. Sepatutnya pada peringkat permulaan, kenalkan dengan puree buah ataupun bijirin yang tinggi serat. Tidak sesuai bayi enam bulan terus diberi bubur nasi walaupun dikisar... kerana nasi tinggi karbo dan kurang serat. 
  2. Kurang minum air. Bayi yang makan makanan pejal perlukan lebih air mineral/cecair tambahan untuk proses penghadaman dan pekumuhan. 
  3. Pembancuhan susu formula yang tidak mengikut sukatan betul
  4. Masalah sistem perkumuhan atau masalah dubur atau lubang dubur kecil. Kes ini, jarang berlaku, dan jika berlaku biasanya kena rujuk hospital untuk proses pembedahan atau rawatan perubatan moden.

Tanda-tanda bayi sembelit:

  1. Ketulan najis yang keras.
  2. Kekerapan membuang najis kurang daripada biasa.
  3. Bayi tidak selesa atau kurang aktif.
  4. Kembung
  5. Perut keras.
  6. Bayi kelihatan sakit atau perli menggunakan daya untuk membuang air besar. (meneran)
8 Cara Atasi Bayi Sembelit

8 Cara Atasi Bayi Sembelit

  1. Membaringkan bayi lalu menggerakkan kakinya seolah-olah mengayuh.
  2. Galakkan dia lebih merangkak. Kekurangan aktiviti fizikal akan menyebabkan sembelit.
  3. Perlahan-lahan urutkan perut bayi dengan pergerakan bulatan mengikut pusingan jam 30 kali dalam beberapa minit.
  4. Tambahkan serat dalam diet bayi. 
  5. Memberikannya jus buah-buahan. Tetapi jangan beri terlalu banyak kerana ia akan mengurangkan pengambilan susu.
  6. Meningkatkan pengambilan bran, bijiran, buah-buahan segar (contohnya prun, pisang dan aprikot) serta sayuran. 
  7. Pastikan bayi anda diberi cecair yang mencukupi. 
  8. Berikannya air masak atau sedikit jus buah-buahan (terutama epal, pir atau prun) di antara penyusuan terutamanya apabila cuaca panas.
Jika langkah-langkah tersebut tidak berjaya, maka boleh menggunakan kaedah moden dan perubatan. Antara ubatan yang boleh digunakan ialah air pancutan yang dimasukkan melalui lubang dubur. Untuk bayi dan kanak-kanak boleh digunakan tapi jangan terlalu kerap, kerana memberi kesan kepada otot dubur untuk membuang secara semulajadi. 

Atau jika tidak berkesan, boleh beri ubat makan untuk lembutkan najis. Iaitu sejenis ubat "Lactulose" yang dijual difarmasi. Dos untuk bayi atas enam bulan ialah 5ml sekali makan tetapi perlu mendapat pendapat dari ahli farmasi kerana dos berlainan mengikut berat bayi. Kesan untuk ubat ini biasanya dalam 4 jam.

Jika bayi mengalami sembelit untuk jangka masa yang panjang atau terdapat tanda-tanda kesakitan yang berulang, maka anda mesti meminta nasihat doktor atau profesional perubatan.

Jangan cuba selesaikan masalah tersebut secara sendiri dengan menggunakan laksatif dan rawatan herba. Ubat-ubatan tidak patut digunakan tanpa nasihat doktor. Susu yang paling baik bagi mengurangkan sembelit adalah susu ibu. Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi anda.

Sumber rujukan: Dr. Zubaidi Ahmad dan Utusan Malaysia. 

0 Ulasan