بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

Hari yang boleh puasa ganti | Ramadhan semakin hampir. Waktu ini, kebanyakan wanita marathon untuk habiskan baki puasa yang masih belum habis diganti.

Hukum puasa ganti atau puasa qada'

Hukumnya wajib bagi yang wajib ganti.

Cara untuk buat puasa ganti

Cara melakukan puasa ganti ada pelbagai kaedah. Antaranya, ganti berselang seli. Ganti mengikut hari yang disunatkan puasa tapi dengan niat puasa ganti.

Selain itu, puasa secara terus menerus mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Hari yang boleh puasa ganti


Bila boleh puasa ganti?

Waktu untuk melakukan puasa ganti bila-bila masa sahaja dalam tempoh selepas Ramadhan hingga sebelum datang Ramadhan yang berikutnya. Kiranya ada lebih kurang 11 bulan waktu untuk puasa ganti.

Namun, masih ada keliru, adakah hari-hari tertentu tidak boleh berpuasa ganti?

Untuk menjawab persoalan ini, harus diketahui jenis-jenis puasa untuk lebih jelas bilakah hari yang boleh puasa ganti.

Jenis puasa:

1. Puasa wajib 

Iaitu puasa Ramadhan, puasa nazar dan puasa ganti.

2. Puasa sunat:

Puasa tiga hari setiap bulan

Ini mungkin senang sikit nak diamalkan. Tak kisah hari apa atau tarikh bila. Dalam sebulan ada 30 hari. Ambil tiga hari sahaja untuk berpuasa. Maknanya ada 27 hari lagi untuk makan-makan. Tapi yang afdalnya pada hari putih iaitu 13, 14 dan 15 setiap bulan Hijrah. Pada tiga tarikh ini, bulan sedang mengambang penuh. Jadi cahaya bulan menerangi. Itu pasal nama ‘Hari Putih’

Sabda Nabi s.a.w, maksudnya: “Apabila kamu berpuasa tiga hari dalam sebulan, maka puasalah pada hari ketiga belas, empat belas dan lima belas” (Riwayat Tirmizi)

Puasa hari ini, esok tak puasa

Lusa puasa semula, tulat tak puasa. Ini maknanya puasa sehari, tak puasa sehari. Selang seli antara keduanya. Ini juga termasuk puasa sunat yang afdal.

Sabda Nabi s.a.w: Maksudnya “Seafdal-afdal ialah fesyen puasa Nabi Daud. Adalah Nabi Daud berpuasa sehari dan berbuka puasa sehari” (Riwayat Bukhari)

Puasa pada hari Arafah

Bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Hari Arafah ini ialah Sembilan Zulhijjah. Puasa pada hari tersebut  besar fadilatnya. Rugi jikalau puasa hari Arafah ditinggalkan.

Sabda Nabi s.a.w, maksudnya: “Puasa hari Arafah, aku mengharapkan pahala kepada Allah bahawa ia menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun selepasnya.” (Riwayat Muslim)

Hari kelapan Zulhijjah

Amat elok berpuasa pada hari kelapan Zulhijjah  iaitu maknanya dua hari berturut-turut. Ini kerana ada keazaman Nabi s.a.w untuk berpuasa pada sembilan Zulhijjah.

Puasa pada bulan-bulan ‘Haram’ iaitu bulan Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah

Tidaklah puasa empat bulan penuh tetapi maksudnya memperbanyakkan puasa pada bulan-bulan ini.

Sabda Nabi s.a.w  maksudnya:  “… dan seafdal-afdal puasa selepas Ramadan ialah bulan Allah iaitu bulan Muharram” (Riwayat Muslim)

Puasa bulan Syaaban


Ini juga besar fadilatnya. Nabi s.a.w memang selalu berpuasa bulan Syaaban sebagaimana yang diceritakan oleh isterinya Aishah r.ha. (Riwayat Bukhari)

Puasa ‘Asyura


Puasa ‘Asyura ini dilakukan pada hari kesepuluh dari bulan Muharram dan lebih baik jika ditambahkan pada hari kesembilan.

‘Asyura berasal perkataan Arab iaitu ‘Asyarah yang bermakna sepuluh.

3. Puasa makruh

Hari-hari yang dimakruhkan untuk berpuasa dalam Islam adalah seperti berikut:

  1.     Puasa pada hari ‘Arafah bagi orang yang mengerjakan haji
  2.     Puasa pada hari Sabtu sahaja (ditunggalkan)
  3.     Puasa pada hari Jumaat sahaja (ditunggalkan)
  4.     Puasa sepanjang tahun (sepanjang masa)


4. Puasa haram

Hari haram berpuasa sunat

  1. Puasa pada Hari Raya Aidilfitri iaitu pada satu Syawal
  2. Hari Raya Aidiladha iaitu pada sepuluh Zulhijjah
  3. Hari Tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah
  4. Hari wanita sedang uzur syari’I iaitu kedatangan
  5. Puasa sunat seorang isteri tanpa izin suaminya
  6. Puasa pada separuh kedua daripada bulan Syaaban



Jadi, jelas disini, boleh berpuasa pada hari yang tidak haram untuk kita berpuasa. Dan juga elakkan puasa pada hari yang makruh berpuasa.

Boleh puasa ganti dengan puasa sunat asalkan niatnya untuk puasa ganti.

Sekian, semoga bermanfaat. 

0 Ulasan